Make your own free website on Tripod.com

Langkahan Ikmalia- alexanderwathern

Halatuju Keluargaku
Laman Utama
Himpunan Risalah Tarbiyyah
Himpunan Risalah Agama Islam
Himpunan Risalah Agama Dunia
Himpunan Soaljawab Ringkas
Himpunan Karya Seni
Himpunan Bahan Bacaan
Himpunan Risalah Umum
Himpunan Dialog
Abu Zulfiqar "Alexanderwathern"
Himpunan Buku

Enter subhead content here

HALATUJU KELUARGAKU
                                          Oleh Alexanderwathern

1. Menghasilkan pekerja-pekerja agama
Kita mestilah berusaha menghasilkan pekerja-pekerja agama yang baru. Inilah produk utama kita. Tanpa produk maka hidup kita di dunia seolah-olah tidak ada makna. Namun kita faham bahawa Allah lebih melihat usaha berbanding hasil. Satu perkara yang sangat penting, kita hendaklah mengutamakan mereka yang mahu berbanding mereka yang kurang mahu atau tidak mahu. Ini bertujuan menjimatkan “masa menanam”, mempercepatkan “masa memetik” menggandakan “hasil”.

2. Menjadi contoh
Kita hendaklah berusaha agar kita menjadi contoh yang baik kepada orang lain. Seboleh-bolehnya kita mahu menjadi contoh baik kepada semua orang dalam semua aspek yang termampu. Berusahalah untuk menjadikan kita contoh. Apabila kita berjaya menunjukkan contoh baik maka hati-hati manusia akan lebih mudah terpaut dengan dakwah kita.

3. Bentuk keluarga Islamik
Kita mestilah berusaha untuk menjadikan keluarga kita Islam dari semua sudut. Untuk itu kita mestilah bersedia untuk menerima tentangan daripada persekitaran kita kerana apa yang kita cuba usahakan kebanyakannya tidak selari dengan persekitaran kita.

4. Kumpul kawan-kawan sefikrah
Kita hendaklah berusaha mengumpulkan seberapa banyak mungkin ahli keluarga dan rakan-rakan yang sefikrah dengan kita. Keluarga sedia ada biasanya tidak mewujudkan suasana yang kita idam-idamkan, malah membawa kita jauh daripada itu. Maka kita sendiri kena berusaha membentuk masyarakat Islam yang diimpikan walaupun hasilnya mungkin kecil. Kita hendaklah berusaha mewujudkan hubungan silaturrahim serapat mungkin dengan ahli-ahli usrah kita. Kita kena yakin bahawa persaudaraan kerana agama adalah lebih utuh berbanding persaudaraan kerana sebab-sebab lain. Usaha jadikan mereka seolah-olah ibu bapa kita, abang kakak kita, adik-adik atau anak-anak kita.

5. Bijak gunakan masa
Kita faham bahawa masa kita sangat terhad sedangkan dakwah kita sangat luas dan ilmu kita sangat sedikit. Untuk itu kita mestilah menumpukan usaha kita kepada 2 perkara utama iaitu sama ada kita melakukan kerja untuk agama ataupun melakukan kerja untuk keperluan asas kehidupan. Melakukan kerja untuk selain daripada 2 perkara ini sebenarnya akan mencuri usaha agama (terutamanya ilmu) dan mencuri keperluan asas kehidupan kita. Ditakuti apa yang dikejar oleh orang tidak kita perolehi, dan apa yang kita kejar iaitu agama dan kehidupan pun tidak kita perolehi juga.

6. Promosikan kita pekerja agama
Kita hendaklah berusaha mempromosikan diri dan keluarga kita sebagai pekerja-pekerja agama kepada orang lain sama ada secara langsung atau tidak langsung. Adalah satu yang merugikan apabila kita mendakwa bekerja untuk agama tetapi orang yang hampir kepada kita pun tidak tahu yang kita seorang pekerja untuk agama.

7. Tarbiyyah berterusan
Kita hendaklah berusaha mengadakan sesi tarbiyah keluarga setiap hari walaupun sekejap. Selewat-lewatnya setiap 3 hari. Sesi tersebut walaupun sekejap tetapi mempunyai kesan yang tinggi dalam menjana kuasa untuk kita meningkatkan ilmu, iman dan amal.  Paling kurang pun ia membuatkan kita istiqamah.

8. Buktikan Islam indah dan mudah
Kita mestilah berusaha untuk menunjukkan bahawa Islam itu indah, Islam itu mudah. Kita kena buktikan yang kita mampu hidup selesa, tenang dan berjaya macam orang lain bahkan adakalanya pencapaian kita lebih baik daripada mereka dalam keadaan kita mengamalkan Islam dalam setiap aspek kehidupan. Kita juga kena buktikan bahawa fahaman para penentang selama ini sebenarnya tidak benar sama sekali. Untuk itu kita kena banyak berkorban dalam hidup kita di dunia ini yang biasanya 70-80 tahun sahaja. Insyaallah di akhirat nanti kita tidak perlu berkorban apa-apa lagi untuk selamanya.

9. Tambah pendapatan
Kita hendaklah berusaha menambah pendapatan keluarga jika berpeluang walau dengan apa cara selagi tidak bersalahan dengan agama Islam. Kita faham bahawa ekonomi adalah senjata jihad. Kita mestilah menambah sumber pendapatan kita jika berpeluang walaupun kita telah sedia kaya, apatah lagi jika pendapatan kita memang tidak mencukupi.

10. Elakkan mereka yang suka bertelingkah
Kita hendaklah berusaha untuk mengelakkan orang-orang yang suka akan pertelingkahan. Sebarang pertelingkahan walaupun kecil akan menggugat perjalanan dakwah kita. Kita hendaklah membiasakan diri memberi maaf. Namun kita faham bahawa sikap manusia sangat sukar untuk berubah. Oleh itu kita jangan terlalu melibatkan diri bergaul dengan anasir-anasir yang kita sedia maklum suka mewujudkan perbalahan. Ini kerana mereka sentiasa saja akan memperbaharui perbalahan dari semasa ke semasa.

Alexanderwathern

OKT 2006

Enter content here

Enter supporting content here

BERTUHANKAN ALLAH, BERSYARIATKAN SYARIAT MUHAMMAD SAW
Tulisan-tulisan di laman ini adalah hak milik Allah SWT dengan berperantaraan Alexanderwathern. Maklumat berkenaan HALAL DIPINDAHKAN ke mana-mana dengan SYARAT hendaklah disertakan sama alamat laman ini sebagai rujukan dan tidak digunakan untuk tujuan komersil.