Make your own free website on Tripod.com

Langkahan Ikmalia- alexanderwathern

Cerama : SERBAN ABANG
Laman Utama
Himpunan Risalah Tarbiyyah
Himpunan Risalah Agama Islam
Himpunan Risalah Agama Dunia
Himpunan Soaljawab Ringkas
Himpunan Karya Seni
Himpunan Bahan Bacaan
Himpunan Risalah Umum
Himpunan Dialog
Abu Zulfiqar "Alexanderwathern"
Himpunan Buku

Cerama

SERBAN ABANG

 

Apakah “cerama”? Cerama ialah gabungan antara “cerpen” dengan “drama”. Alex mengadunkan keduanya kerana merasakan kesannya ke atas pembaca adalah lebih kuat berbanding cerpen atau drama, lebih-lebih lagi dalam menyalurkan maklumat tentang agama Islam. Ambillah peluang ini untuk menjadi antara orang terawal mencuba cerama.

 

 

WATAK & PERWATAKAN

 

HAFIZ - Anak muda berusia 27 tahun. Lulusan agama dari sebuah universiti Timur Tengah. Kini bertugas sebagai seorang guru agama di sebuah sekolah menengah.

 

ISKANDAR- Abang kepada Hafiz. Berusia 33 tahun.Lulusan agama dari sebuah universiti di Indonesia. Setelah habis pengajiannya, memilih untuk menjadi seorang petani moden. Namun ada juga memberikan kuliah di beberapa masjid dan surau berhampiran.

 

 

LATAR TEMPAT

 

Kampung Sungai Lilin. Suasana desa masih terasa di kampung ini walaupun perubahan agak pesat berlaku.

 

 

LATAR MASA

 

Cuti sempena Tahun Baru Cina pada tahun 2007

 

 

LATAR MASYARAKAT

 

Masyarakat Melayu pinggir bandar, berpendidikan dan bermaklumat.

 

 

            Hafiz dan abangnya baru selesai mandi di sungai. Mereka berjalan pulang beriringan. Begitulah mereka apabila sesekali berjumpa. Ketika itu lebih kurang pukul 6.00 petang.

 

HAFIZ :

Kenapa abang pakai serban, bang? (Hafiz menduga abangnya yang selalu memakai serban. Bagi Hafiz, serban bukanlah satu sunnah dan tidak sunat memakainya. Sebelum ini Hafiz tidak berani mengutarakan isu ini kerana takut kalau-kalau abangnya tersinggung)

 

ISKANDAR

(Menoleh sebentar ke arah adiknya, memberikan sedikit senyuman… lalu menoleh semula ke arah depan)

Sajalah, abang nak ikut Nabi.

 

HAFIZ

Tapi kan… Nabi bukan sentiasa berserban. (Hafiz mula membuka hujah sambil merenung wajah Iskandar dari sisi sebelah kiri)

 

ISKANDAR

(Tersenyum lagi, lebar sedikit daripada tadi)

Itulah yang abang ikut. (Ringkas saja jawabnya)

 

HAFIZ

(Berasa pelik dengan jawapan tersebut. Keningnya berkerut sedikit)

Macam mana tu? Tak faham saya.

 

ISKANDAR

Nabi Muhammad ni… kadang-kadang dia pakai serban dan kopiah. Kadang-kadang dia pakai kopiah saja. Adakalanya pulak dia pakai kain serban sahaja. Ada waktu dia tak tutup kepala dengan apa-apa. Ada yang dia dia tutup dengan kain…

Jadi… betullah baginda tidak sentiasa berserban. Dan yang tidak sentiasa berserban itulah yang kita ikut. (Satu-satu dan lambat-lambat penjelasan Iskandar)

(Memang betulpun. Ketika berkebun, Iskandar memakai topi yang biasa dipakai oleh kaki pancing. Ketika “jogging” di s ebelah petang, kepalanya tidak bertutup. Ke surau atau ke majlis-majlis, biasanya berserban ataupun berkopiah sahaja. Di gelanggang silat, kepalanya diikat kain hitam. Di dalam tandas, kepalanya bertutup kain tuala)

 

HAFIZ

(Tergamam mendengar jawapan Iskandar. Belum pernah dia terjumpa alasan seperti itu walaupun sudah beberapa orang rakan sepengajiannya yang berserban di”pancung”nya sebelum ini. Beberapa orang tua kampung itu seperti Ustaz Uthman imam, Tok Aki Raof yang berusia 75 tahun dan Cikgu Zakaria Tabligh pun pernah di”pancung”nya tempoh hari. Teraba-raba mereka mencari jawapan)

(Dalam keadaan begitu, Hafiz cuba untuk berlagak biasa. Dicarinya ruang yang lain)

Bagi abanglah, adakah serban tu satu sunnah?

 

ISKANDAR

(Sebenarnya faham permainan hati adiknya ketika itu)

Ada ulama yang kata sunnah, dan ada ulama yang kata bukan sunnah. Ulama yang kata sunnah pun banyak, yang kata bukan sunnah pun banyak. Apabila sebelah sana berkumpul banyak ulama yang soleh dan di sebelah satu lagi pun banyak ulama yang soleh, maka ia jadi perkara khilaf. Adab dalam berkhilaf… kedua-dua pihak kena saling hormat-menghormati keputusan lawan masing-masing, kena saling meraikan. Kan begitu?

 

HAFIZ

(Terdiam… kemudian baru mengangguk-angguk kecil. Tapi anggukan itu bukanlah tanda dia bersetuju penuh, cuma dirasakannya ketika itu, bahasa badan anggukan itulah yang sesuai sambil mindanya ligat berfikir)

Tapi kan… macam dalam kes wanita menjadi imam kepada lelaki- ada ulama besar zaman dahulu yang kata boleh. Kalau ini kita anggap khilaf, maka bolehlah orang perempuan jadi imam! Betulkah boleh?

 

Mereka berpandangan, lalu kedua-duanya tertawa kecil

 

ISKANDAR

Adakah bilangan ulama yang kata boleh itu setanding dengan bilangan ulama yang kata tak boleh? ………

Jawapannya- tidak. 2-3 orang saja yang kata boleh berbanding ratusan atau ribuan ulama muktabar yang kata tak boleh. Jadi situsi ini tidaklah boleh dikatakan khilaf, tetapi apa yang difatwakan oleh 2-3 orang ulama tadi disebut “pendapat yang ganjil” saja. Ini berbeza dengan khilaf.

 

Iskandar membiarkan masa sepi tanpa bicara sebentar, untuk memberi ruang kepada kata-katanya difahami secara maksimum oleh Hafiz.

 

ISKANDAR

Kemudian… adakah para ulama yang 2-3 orang itu pernah berimamkan wanita? Ada tak apa-apa bukti yang menunjukkan mereka memang pernah berimamkan wanita? Maksudnya, pernahkah ada contoh daripada mereka pada zaman itu? Isteri mereka ke.. anak murid mereka ke..?

 

HAFIZ

Taklah pula saya mengkaji sampai ke situ.

 

ISKANDAR

Ye lah. Kita bincang-bincang ni pun atas ilmu dalam dada je, bukan ada kitab kat depan pun. Kita cakap setakat apa yang tahu je lah. (Mereka sama-sama tersenyum)

 

 

            Sunyi seketika. Nun di hujung jalan kelihatan beberapa orang kanak-kanak bermain. Sesekali suara mereka kedengaran walaupun agak jauh juga kedudukan mereka. Mungkin dibawa angin lembut yang menampar-nampar di wajah. Begitulah suasana kampung Sungai Lilin pada lewat petang.

            Baru sebentar tadi Dani anak kecil Pak Lah berbasikal melewati mereka. Cukup laju kayuhannya. Diikuti oleh kakaknya Mazlina yang berusia sebelas tahun.

 

HAFIZ

(Masih mahu menyambung bicara)

Ada pendapat mengatakan… serban ni bukanlah sunnah Nabi, tapi ia satu budaya Arab saja- yang tidak dituntut menirunya di tempat-tempat lain.

Macamlah naik unta. Takkanlah kerana Nabi pernah naik unta maka semua umat Islam disuruh naik unta juga walaupun di negara itu tidak ada unta. Tambahan pula pada zaman teknologi canggih ni.

 

ISKANDAR

Hmm… macama mana nak jawab ye…

Beginilah.

Apakah definisi serban?

 

HAFIZ

Nak kena buka Kamus Dewan le jawabnya!

 

Mereka tertawa lagi.

 

ISKANDAR

Baiklah. Apabila disebut serban saja, apa yang Hafiz bayangkan?

 

HAFIZ

Mmm… kain… dilipat ataupun dirapat-rapatkan… kemudian dililit di kepala.. dengan… “style’ yang macam-macamlah. Ada yang ada ekor, ada yang tak da… mmm… gitulah lebih kurang.

 

ISKANDAR

Okeyyyyyy… adakah kain yang dililit di kepala Syeikh Nazeem… kenal Syeikh Nazeem?

 

HAFIZ

Tahu. Dia orang besar tariqat, tariqat apa entah. Tapi tahu le.

 

ISKANDAR

OK. Adakah adakah kain putih yang dililit di kepala Syeikh Nazeem itu dipanggil serban?

 

HAFIZ

(Berasa pelik sedikit dengan soalan abangnya)

Iye.

 

ISKANDAR

Adakah kain cantik bercorak pelekat yang dipakai oleh orang-orang Darul Arqam dulu dipanggil serban?

 

HAFIZ

Ya.

 

ISKANDAR

Adakah kain hitam di kepala pejuang-pejuang Taliban itu serban?

 

HAFIZ

Ya. Serban.

 

ISKANDAR

Yang maulana-maulana Tabligh di India pakai tu?

 

HAFIZ

Saya tak pernah tengok maulana-maulana tu.

 

ISKANDAR

(Tertawa kecil)

He he he… ye lah… tapi kan banyak orang Islam India pakai serban…

 

HAFIZ

Ye ye… saya faham. Memang serbanlah tu. (Tersenyum)

 

ISKANDAR

Dalam bulan Ramadhan hari tu, dalam rancangan Jejak Rasul ke apa ke rancangan yang seumpama tu lah… ada dirakamkan imam-imam masjid di Negara China yang berserban putih dan panjang sampai ke pinggang ekornya. Adakah itu serban atau bukan?

 

HAFIZ

…iye… (Nada jawapannya mula nampak berhati-hati. Ini kerana dia dapat merasakan ada sesuatu yang sedang dikumpul oleh pertanyaan-pertanyaan abangnya)

 

ISKANDAR

Orang-orang Sikh yang jelas bukan Islam, ada memakai kain di kepala mereka. Adakah itu serban?

 

HAFIZ

Memang orang sebut serban juga.

 

ISKANDAR

Jadi, apa saja kain yang seumpama itu dan dipakai seumpama itu, sama ada dipakai oleh Syeikh Nazeem yang berketurunan Cyprus, dipakai oleh Uztaz Ashaari Arqam Rufaqa’ keturunan Melayu Malaysia, dipakai oleh Taliban berketurunan Afghanistan, dipakai oleh… sapa tadi… maulana-maulana Tabligh keturunan India, dan dipakai oleh imam-imam Negara China yang berketurunan China, termasuklah yang dipakai oleh kaum Sikh yang bukan beragama Islam… semua itu disebut serban.

Betul?

 

HAFIZ

(Merenung wajah abangnya, tanpa jawapan bersuara tetapi mengangguk-angguk)

 

ISKANDAR

Kesimpulannya, yang dinamakan serban itu bergantung kepada kain dan cara pakainya, bukan siapa pemakainya. Bukan bangsa pemakainya dan bukan juga agama pemakainya. Setuju?

 

HAFIZ

Hmm… bolehlah dikatakan begitu… (masih tidak begitu mengiyakan kesimpulan abangnya)

 

ISKANDAR

Pada zaman Nabi dan para sahabat, ada orang Yaman di selatan Semenanjung Tanah Arab memakai kain sebegitu di kepala mereka. Adakah itu serban?

 

HAFIZ

He em. (Mengiyakan)

 

ISKANDAR

Zaman itu, ada orang di Sudan dan Mesir dan di beberapa bahagian benua Afrika… memakai kain yang seumpama itu di kepala mereka. Adakah itu serban?

 

HAFIZ

(Mengangguk)

 

ISKANDAR

Zaman itu juga, ada orang di pedalaman Negara China dan di Mongolia memakai kain seumpama itu di kepala mereka…betul-betul serupa cara pakainya. Adakah itu serban?

 

HAFIZ

(Terdiam)

 

ISKANDAR

(Setelah beberapa lama…)

Macam mana Hafiz?

 

HAFIZ

Tapi… tak pernah orang kata itu serban…

 

ISKANDAR

Kenapa?

Adakah sebab kain itu dipakai oleh orang bukan Arab maka ia tak boleh dipanggil serban? Padahal bentuk kain dan cara pakainya sama saja!

Orang Sudan bukan bangsa Arab, mereka bangsa Afrika tapi kenapa kita iktiraf mereka pakai serban?

Lagipun, cuba ingat balik. Kan ke tadi kita dah ada satu keputusan kecil.. mengatakan… yang dinamakan serban itu bergantung kepada kain dan cara pakainya, bukan siapa pemakainya, bangsa mana yang memakainya, agama apa yang memakainya…? Bahkan orang-orang nomad di China, Mongolia dan Uzbekistan telah berserban sebelum kelahiran Nabi Muhammad lagi!

 

HAFIZ

(Masih tidak menjawab apa-apa tapi tersenyum lebar, agak lama juga senyumnya)

 

ISKANDAR

(Merasakan yang adiknya tidak akan memberikan apa-apa jawapan, Iskandar meneruskan aliran maklumatnya)

Seorang pengembara terkenal zaman dulu… abang dah lupa siapa, tapi catatannya memang jadi sumber sejarah. Sewaktu dia singgah di Kepulauan Melayu, dia menulis… bahawa orang-orang Melayu yang ditemuinya kebanyakannya berkulit gelap dan “membungkus kepala mereka”.

Orang-orang India pun sama. Sebelum kedatangan Islam lagi… telah ada masyarakat yang berserban.

Jadi… serban bukanlah budaya Arab sebagaimana yang dilaung-laungkan oleh musuh-musuh Islam dari Barat. Mereka inilah yang mula-mula cuba mewujudkan satu hukum universal yang mengatakan… apa saja yang dibawa oleh Muhammad adalah khusus untuk bangsa Arab... agamanya, budayanya, peraturannya… Mereka mempopularkan sebutan “Budaya Arab” dan menenggelamkan sebutan “Budaya Islam”. Mereka mahu dunia terima hakikat bahawa tidak ada sebarang budaya Islam, yang ada hanyalah budaya Arab. Panjanglah kalau nak dibincangkan bab ni.

 

HAFIZ

Ye lah, saya faham.

 

            Mereka tiba di halaman rumah. Oleh kerana senja masih jauh, mereka menuju ke pokok ceri di penjuru kanan halaman. Ada pangkin tempat untuk mereka melabuhkan punggung.
 
bersambung...

BERTUHANKAN ALLAH, BERSYARIATKAN SYARIAT MUHAMMAD SAW
Tulisan-tulisan di laman ini adalah hak milik Allah SWT dengan berperantaraan Alexanderwathern. Maklumat berkenaan HALAL DIPINDAHKAN ke mana-mana dengan SYARAT hendaklah disertakan sama alamat laman ini sebagai rujukan dan tidak digunakan untuk tujuan komersil.