Make your own free website on Tripod.com

Langkahan Ikmalia- alexanderwathern

Ceramah : REMAJA - CABARAN & PENYELESAIANNYA
Laman Utama
Himpunan Risalah Tarbiyyah
Himpunan Risalah Agama Islam
Himpunan Risalah Agama Dunia
Himpunan Soaljawab Ringkas
Himpunan Karya Seni
Himpunan Bahan Bacaan
Himpunan Risalah Umum
Himpunan Dialog
Abu Zulfiqar "Alexanderwathern"
Himpunan Buku

Ceramah: REMAJA: CABARAN & PENYELESAIANNYA


* (Ceramah ini telah disampaikan oleh Alexanderwathern dalam satu kem ibadah remaja pada bulan November 2006 selama lebih kurang 1 setengah jam, kemudian ia dipindahkan dalam bentuk tulisan khususnya untuk ulangkaji dan umumnya untuk tatapan sesiapa yang berminat untuk mengambil manafaat . Maka sudah tentulah ia tidak sama dengan penyampaian secara lisan tersebut, namun isi utamanya tetap ada di sini.
Gaya bahasa ketika penyampaian cuba dikekalkan (bergantung kepada kesesuaian) untuk pemahaman semaksima mungkin. Isi ceramah lisan tentulah tidak layak untuk dibandingkan dengan artikel terancang. Harap maklum) 
         
            Allah SWT yang sangat luas kerajaannya, meliputi seluruh alam semesta, seluruh alam makhluk, telah berfirman dalam kitab Perjanjian Terakhir- The Last Testament al-Quran yang suci…

            Jika orang-orang Yahudi berbangga dengan kitab Taurat yang telah diubahsuai yang kini dikenali sebagai The Old Testament atau Perjanjian Lama, orang-orang Kristian dengan kitab Injil yang telah rosak yang dikenali sebagai The New Testament atau Perjanjian Baru, maka kita umat Islam juga boleh berbangga dengan kitab al Quran yang kini semakin dikenali sebagai The Last Testament atau Perjanjian Terakhir.


            Sewaktu hendak berdakwah kepada orang Kristian, kalau kita sebut kitab al Quran… dia tak rasa apa-apa. Tapi kalau kita sebut kitab The Last Testament atau Perjajian Akhir, ada satu macam perasaan yang berbekas dalam hati mereka.


Apa kata Allah? (bacaan ayat Quran)… yang maksudnya lebih kurang:
            “Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu.”
( Surah Al Baqarah: 208)

            Apabila seseorang penceramah atau tok guru membacakan sesuatu ayat al Quran ataupun hadith pada permulaan ceramahnya, maka ayat atau hadith tersebut memang ada kaitannya dengan ceramah atau pengajian mereka. Begitu jugalah dengan kita hari ini.


Pelajar sekelian,


            Marilah kita sama-sama bersyukur kepada Allah SWT yang sangat besar kerajaannya meliputi seluruh alam semesta, meliputi seluruh alam makhluk kerana dengan pilihan-Nya Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang, Dia telah memilih kita untuk berada dalam satu majlis ilmu ketika ini, yang mana majlis-majlis ilmu ini disifatkan oleh kekasih kita Nabi Muhammad saw sebagai taman-taman syurga. Di tempat-tempat lain pun ada juga majlis-majlis seperti ini, tetapi lebih banyak lagi manusia yang berada dalam majlis-majlis yang tidak diredhai Allah, taman-taman neraka atau sekurang-kurangnya berada dalam majlis yang sia-sia.
            Jadi… syukur, terima kasih Tuhan, terima kasih Sayangku, I miss u Allah, I love u Allah.

            Allah SWT sangat hebat, Maha Hebat. Ketika ini ... Allah sajalah yang tahu daun-daun manakah yang sedang gugur di seluruh pelusuk dunia ini dan berapa jumlahnya. Allah sajalah yang tahu air sungai manakah  ketika ini sedang berlanggar dengan batu lalu terpercik bersama jumlah titis air yang terpercik itu, di seluruh dunia. Ketika ini...  hanya Allah sajalah yang tahu batu-batu manakah di dasar lautan
sana yang sedang bergeseran sesama sendiri beserta dengan jumlahnya sekali. Ketika ini ... Allah sajalah yang tahu bintang manakah di langit sana yang sedang meletus hancur musnah, dan bintang-bintang manakah pula yang baru muncul bersama dengan jumlahnya sekali.
            Begitulah Maha Hebatnya ilmu pengetahuan Allah. Sehebat mana pula ilmu kita? Sama-sama kita nilaikan sekarang.

            Alam semesta ini sangat luas. Sudahlah luas, semakin hari semakin berkembang, macam belon yang ditiup- semakin lama semakin membesar dan tidak ada tepinya. Di manakah bumi? Bumi hanyalah satu titik atau satu habuk yang terapung-apung di alam semesta ini. Itulah nilai bumi, hanya habuk kepada kerajaan Allah.
            Di manakah kita?
Cuba
bandingkan diri kita dengan bumi. Di manakah kita berbanding bumi? Kita hanyalah satu titik atau sebutir habuk saja di tengah-tengah bumi ini. Itulah nilai kita.
            Kalau bumi dibandingkan dengan alam semesta maka bumi hanya sebesar habuk, kita pula kalau dibandingkan dengan bumi maka kita hanya sebesar habuk, maka bandingan kita kepada alam semesta hanyalah habuk kepada habuk sahaja. Yang di depan saya sekarang ini adalah habuk-habuk belaka.
            Itulah nilai kita, tak ada apa-apa nilai sangatpun di sisi Tuhan. Dalam keadaan begitupun, masih banyak manusia yang menentang hukum-hukum Tuhan.

            Asalanya kejadian alam semesta ini bermula daripada satu letusan yang dikenali sebagai “Big Bang”… Pommm! Meletup lalu semakin berkembang. Ia macam belon- apabila belon ditiup semakin besar, maka jarak antara zarah-zarah di dalamnya semakin menjauh sesama sendiri. Binmtang-bintang yang dulunya duduk bedekatan semakin ahri semkain menjauh antara satu sama lain. Luasnya alam semesta tidak bertepi, dan Allah tahu segala-galanya tentang alam semesta ini.

            Setakat mana pula pengetahuan manusia? Siapa manusia yang paling pandai sekarang? Katakanlah George Bush. Sehebat-hebat George Bush, adakah dia tahu semua perkara tentang dunia ini? Tentu tidak. Sehebat-hebat George Bush, adakah dia tahu semua hal tentang negaranya Amerika Syarikat? Tentu tidak? Sebijak-bijak Geroge Bush, adakah dia tahu semua perkara tentang dirinya, tubuh badannya? Sehebat-hebat George Bush, adakah dia tahu semua perkara tentang biji matanya? Tidak juga. Bahkan seorang doktor pakar mata pun tidak dapat mengetahui semua hal tentang matanya sendiri. Sedangkan Allah SWT mengetahui semua perkara di seluruh alam semesta ini. Begitulah dhaifnya manusia  berbanding Allah. Tapi dalam keadaan sebegitupun, masih banyak manusia yang merasakan dirinya hebat (* dan melampaui batas).
 

Pelajar yang dikasihi sekelian,

            Hebatnya Allah SWT… Dia tidak dipengaruhi oleh tempat, ruang dan arah sebab… tempat, ruang dan arah adalah makhluk yang baru dicipta. Sebelum wujudnya tempat, ruang dan arah, Allah telah sedia ada. Tuhan tidak dipengaruhi oleh warna, Dia tidak berwarna ataupun jernih. Ini kerana warna itu sendiri makhluk baru yang diciptakan oleh Tuhan. Sebelum warna dicipta, Allah telahpun ada. Kita tidak boleh membayangkan Allah dalam warna apa sekalipun. Allah juga tidak terpengaruh oleh terang ataupun gelap, kerana terang dan gelap itu juga makluk. Sebelum terang dan gelap ada, Allah telahpun sedia ada. Hebat tak Allah SWT? Dia tidak duduk dalam gelap, Dia juga tidak duduk dalam terang. Bolehkah kita membayangkan satu benda yang tidak duduk dalam terang mahupun dalam gelap?

 

            Cuba bayangkan seekor arnab di tengah padang, ataupun Mr. Bean sedang berada di tengah-tengah padang- dalam keadaan terang… boleh tak kita nampak arnab dan Mr. Bean tadi? Boleh. Cuba bayangkan pula ada suatu malam yang gelap tidak ada bulan, di dalam sebuah rumah yang tertutup rapat yang tidak ada sebarang cahaya lampu, kamu duduk di dalam sebuah almari yang bertutup rapat bersama-sama dengan Mr. Bean! Bolehkah kamu melihat Mr. Bean? Tak boleh, tapi… kamu tetap dapat melihat satu makhluk Allah iaitu gelap. Tapi Allah tidak berada dalam terang ataupun dalam gelap. Hebat tak Allah? Hebat.

 

            Pendengaran Allah tidak akan terhalang disebabkan jauh. Sejauh mana (*bahkan serahsia mana) pun tetap dapat didengar-Nya. Pendengaran manusia pula sangat lemah. Kalau jauh, tak boleh dengar. Di sebalik dindingpun kita tak boleh dengar. Penglihatan Allah tidak akan terhalang disebabkan gelap. Segelap mana (bahkan setersembunyi mana) pun tetap dapat dilihat-Nya.

            Teringat kisah anak saya. Satu hari dia tanya saya, “Abi, Tuhan tu… Dia makan tak?” Saya jawab (*secara mudahnya untuk disesuaikan dengan jiwa kanak-kanak 4 tahun), “Tuhan tak payah makan sebab dia saaangat hebat. Tuhan tak boleh lapar.” Dia kata, “Nanti kalau perut Dia masuk angin macam mana?” He he he.

 

            Masa kecil dulu saya pun pernah tanya kepada nenek saya yang saya panggil mak, “Mak, rupa Tuhan tu macam mana mak?” Nenek saya yang sedang membasuh kain pun malas melayan soalan saya lalu saya cakap, “Tuhan tu macam mak la” sebab saya bayangkan Tuhan tu berambut putih. Kebetulan nenek saya memang putih kesemua rambutnya (*ketika itu usia saya juag lebih kurang 4 tahun). Begitulah cerita budak-budak.

 

bersambung ke bahagian ke-2...

BERTUHANKAN ALLAH, BERSYARIATKAN SYARIAT MUHAMMAD SAW
Tulisan-tulisan di laman ini adalah hak milik Allah SWT dengan berperantaraan Alexanderwathern. Maklumat berkenaan HALAL DIPINDAHKAN ke mana-mana dengan SYARAT hendaklah disertakan sama alamat laman ini sebagai rujukan dan tidak digunakan untuk tujuan komersil.