Make your own free website on Tripod.com

Langkahan Ikmalia- alexanderwathern

Ceramah : REMAJA - CABARAN & PENYELESAIANNYA (bah. 3)
Laman Utama
Himpunan Risalah Tarbiyyah
Himpunan Risalah Agama Islam
Himpunan Risalah Agama Dunia
Himpunan Soaljawab Ringkas
Himpunan Karya Seni
Himpunan Bahan Bacaan
Himpunan Risalah Umum
Himpunan Dialog
Abu Zulfiqar "Alexanderwathern"
Himpunan Buku

Pelajar yang dirahmati Allah sekelian.

 

            Sebenarnya saya diminta oleh Ustaz Tuan Azman untuk menyampaikan sebuah ceramah berkaitan remaja. Ustaz bagi masa 2 jam, tapi “power” suara saya biasanya boleh tahan 20 minit saja. Paling-paling lama pun 40 minit. Lebih daripada itu nanti suara tak berapa mahu keluar. Jadi apabila suara dah tak ada nanti, saya “stop” lah.

 

            Kami bincang punya bincang punya bincang , akhirnya saya memilih tajuk “Remaja: Cabaran & Penyelesaiannnya”.

 

            Zaman remaja ni semuanya kuat, bersemangat, semuanya cantik…macam yang ada di depan saya sekaranglah. Ustaz Azman sendiri masa remaja dulu tiga kali ganda lebih “handsome” daripada sekarang.

 

            Apabila kita mengeluarkan kata-kata, kita mestilah sangat berhati-hati. Apatah lagi dalam soal agama, macam ceramah ini (* maksudnya saya tidak boleh berkata sebarangan).

 

            Contohnya ada sebuah kisah, nak menunjukkan betapa pentingnya kata-kata. Ada seorang lelaki “gangster” masuk ke sebuah restoran. Dia ni seorang yang panas baran, cepat marah.

 

           Hidangan utama restoran itu ialah ayam panggang. Orang yang masuk ke situ memang akan makan ayam panggang. Lelaki ini pun sama, duduk-duduk saja terus “order” ayam panggang seekor. Rupa-rupanya ayam panggang dah habis, dan ayam yang terakhir sedang diletakkan di hadapan seorang lelaki lain. Kata pelayan, “Minta maaf encik, ayam panggang dah habis. Yang terakhir tu… kat depan lelaki tu”. Jawabnya, “Mana boleh, ayam tu aku mesti dapat! Aku yang punya”

 

           Terus dia bangun dan pergi ke meja yang ada ayam panggang terakhir itu. Dia bercakap dengan kasar, “Hoi, hang jangan pegang ayam tu! Aku bersumpah, apa yang hang buat kat ayam tu akan aku buat dekat hang!.”

 

            Orang itu pun terpinga-pinga, “Ni orang gila mana pulak ni?” Katanya dalam hati. Tapi dia ni jenis tenang. Seterusnya orang itu pun bersuara, “Maksudnya… apa yang saya buat kat ayam ni… encik nak buat yang sama kepada saya…?”

 

            “Ya, aku bersumpah!”

 

            “Kalau saya cubit ayam ni…”

 

            “Aku cubit hang!”

 

            “Kalau saya kepak tangan ayam ni?”

 

            “Aku kepak tangan hang! Aku bersumpah”

 

            “OK lah,” terus orang itu angkat ayam tadi lalu menjilat punggung ayam itu.

 

 

            Hah, macam mana tu? Bersumpah dah bersumpah dah! Kan susah kalau tak berhati-hati dengan kata-kata…

 

            Baiklah, kita masuk kepada isi ceramah. Mula-mula kita tengak apakah cabaran remaja… apakah yang mencabar remaja? Sebenarnya baaanyak benda yang mencabar remaja hari ini, tapi untuk sesi ini saya letakkan empat perkara. Setelah saya fikir-fikirkan… antara perkara yang paling kuat mencabar remaja hari ini ialah:

 

1.      diri sendiri

 

2.      syaitan

 

3.      persekitaran

 

4.      corak pemerintahan

 

            Cabaran remaja yang paling utama ialah diri sendiri. Cuba kita lihat kisah Iblis. (Mengikut riwayatnya) Asalnya dia satu orang yang sangat kuat beribadah, ratusan tahun… ribuan tahun mengabdikan diri kepada Allah. Kita pula… sudah berapa tahun kita beribadah kepada Allah?

 

            Solehnya Iblis tadi hinggakan para malaikat (umumnya) sendiri kalau nak minta apa-apa daripada Allah, mereka akan minta Iblis tolong doakan. Ini menunjukkan betapa makbulnya doa Iblis.

 

            Satu ketika heboh di kalangan malaikat kononnya akan ada satu daripada makhluk-makhluk Allah yang akan menderhaka kepada Allah. Para malaikat pun minta Iblis tolong doakan agar mereka bukanlah makhluk yang bakal menderhaka itu. Iblis pun berdoa tetapi dia terlupa untuk mendoakan dirinya sendiri. Sebab itu kalau kita berdoa, jangan lupa doakan diri kita.

 

            Akhirnya Nabi Adam dicipta. Allah perintahkan semua malaikat termasuklah Iblis sujud kepada Nabi Adam, tapi Iblis tak mahu kerana merasakan dirinya lebih mulia daripada Nabi Adam. Ini kerana Iblis diciptakan daripada nyalaan api sedangkan Nabi Adam daripada tanah yang kotor. Akibatnya Iblis menderhaka kepada Tuhan.

 

             Baik, ketika Iblis menentang perintah Tuhan itu, adakah satu Iblis lain datang menghasut dia supaya engkar? Tak ada. Adakah satu syaitan lain datang menghasut dia? Tak ada kerana syaitan belum wujud. Iblis itulah syaitan yang pertama. Maksudnya ketika itu Iblis dikalahkan oleh dirinya sendiri, iaitu nafsu sendiri. Jelas diri sendiri adalah jauh lebih bahaya daripada Iblis dan syaitan!

 

            Tengok bulan puasa. Kononnya syaitan diikat atau dirantai. Kita tak tahulah bagaimana cara syaitan diikat dan dirantai itu. Tapi dalam keadaan syaitan diikat, banyak tak orang yang melakukan kejahatan? Banyak. Yang tak puasa pun ramai. Tanpa ada syaitan pun manusia sudah menjadi jahat. Ini menunjukkan musuh paling utama ialah diri sendiri.

 

              Semasa mengimamkan solat tarawikh pada bulan Ramadhan yang baru lalu, saya ada menyampaikan beberapa tazkirah. Antaranya menceritakan “Kisah Cabaran Syawal”. Ringkasnya, sepanjang bulan Ramadhan selama 20 atau 30 hari kita berlatih untuk menjaga makan minum, menjaga mata, membanyakkan ibadah dan sebagainya. Kita seolah-olah berguru dengan Ramadhan selama sebulan.

 

            Semasa Ramadhan sekurang-kurangnya kita solat sunat 11 rakaat sehari semalam. Bagi yang solat tarawikh 20 rakaat pula sekurang-kurangnya 23 rakaat sehari semalam. Biasanya lebih daripada itu. Tapi apabila sampai saja 1 Syawal, kamu tengok adakah orang mampu mempertahankan solat sunat melebihi 10 atau 20 rakaat sehari? Biasanya pada 1 Syawal saja kita sudah kalah, habis semua solat-solat sunat kita. Nak buat 2 rakaat pun belum tentu pada 1 Syawal. Betul tak?

 

            Dalam bulan Ramadhan kita mampu baca berhelai-helai Al Quran. Ada yang baca satu juz sehari. Tapi apabila tiba saja Hari Raya, ke mana pergi bacaan Al Quran berhelai-helai itu?

 

            Inilah cabaran Syawal. Ia umpama satu perguruan silat. Selama 29 atau 30 hari kita berlatih bersungguh-sungguh untuk berdepan dengan lawan kita iaitu 1 Syawal. Tapi apabila tiba saja 1 Syawal… kita tewas dengan pukulan KO. Seolah-olah tak ada makna perguruan kita selama sebulan itu.


            Sebenarnya… kita tewas dengan diri sendiri.

 

Cabaran remaja yang kedua ialah syaitan. Siapakah syaitan? (Membacakan Surah an-Naas beserta tafsirnya).

 

1.      Katakanlah: Aku mohon perlindungan dengan Pemelihara Manusia.

 

2.      Raja/ Penguasa/ Pemerintah Manusia.

 

3.      Sembahan/ Ilah Manusia.

 

4.      Daripada kejahatan syaitan yang bersembunyi.

 

5.      Yang membisik/ menghasut di dada manusia.

 

6.      Dari kalangan jin dan manusia.

 

            Semua orang tahu syaitan adalah musuh kita. Cuma apa yang kita biasa faham, syaitan ini satu makhluk yang kita tak nampak iaitu dari kalangan jin. Tapi sebenarnya ada syiatan yang jenis kita boleh nampak iaitu dari kalangan manusia sendiri. Buktinya surah an-Naas tadi. Tuhan beritahu bahawa syaitan itu terdiri dari kalangan jin dan manusia, ada syaitan bangsa jin dan ada syaitan bangsa manusia.

 

            Apabila seseorang itu melakukan kejahatan terutamanya yang menjadi tukang hasut, maka ketika itu dia sendiri sudah dikira sebagai syaitan. Syaitan dari kalangan jin memang bahaya tapi syaitan dari kalangan manusia tak kurang juga bahayanya, ia berada di sekeliling kita. Siapa yang menghasut atau mengajak kita ke arah kejahatan, maka kita bimbang kalau-kalau ketika itu dia sudah dikira sebagai syaitan oleh Tuhan.

 

            Antara syaitan bangsa manusia yang jelas ialah pendakyah daripada agama lain. Mereka menyebarkan pelbagai kebohongan untuk menutup kebenara agama Islam. Kita mestilah berhati-hati dengan golongan ini.

 

            Perkara ketiga yang mencabar remaja ialah persekitaran. Antaranya persekitaran rumah, persekitaran kejiranan dan persekitaran sekolah.

 

            Persekitaran rumah memang mencabar kita. Ini kerana kebanyakan masyarakat Melayu Islam tidak mengamalkan Islam secara keseluruhannya di rumah. Katakanlah Nabi Muhammad SAW masih hidup dan dia datang melawat ke rumah kita. Suatu hari sedang kita lepak-lepak di rumah tiba-tiba terdengar suara orang bagi salam. Buka-buka pintu, tengok-tengok Rasulullah yang datang! Macam mana keadaan kita dan keluarga kita ketika itu?

 

            Kata Rasululullah, “Saya nak tumpang bermalam di rumah kamu, boleh tak?”

 

            Apa jawapan kita? Nak kata tak boleh memang sangat tak patut! Nak kata boleh… kita takut! Kenapa kita takut? Kerana kita tak mahu Rasulullah masuk lalu baginda terlihat kaum keluarga kita yang berpakaian tetapi tidak menutup aurat. Kita takut Rasulullah ternampak pelbagai jenis majalah hiburan dan koleksi VCD yang tidak selaras dengan Islam. Kita takut Rasulullah terpandang gambar-gambar artis yang dilekat di dinding rumah kita. Kita takut Rasulullah minta Al Quran (atau sejadah), kita berikan yang dah berhabuk. Kita takut kaum keluarga kita yang perempuan menyerbu Rasulullah untuk bersalaman. Zaman dulu kalau orang datang, anak dara menyorok. Zaman sekarang kalau orang datang, anak dara yang terpa dulu. Betul tak?

 

            Macam-macam yang kita takut seandainya Nabi Muhammad hendak masuk ke rumah kita. Ini menunjukkan yang kita tahu hal ehwal agama tapi kita sengaja menolaknya ke tepi. Betul kan? Kalau betullah Nabi Muhammad datang nak bermalam di rumah kita… fikirkan- sediakah kita menerimanya? Sediakan rumah kita (keadaannya) menerimanya? Sediakah “family” kita menerimanya? Fikirkan, kemudian buatlah perubahan.

 

            Satu lagi masalah yang tidak kurang pentingnya ialah kalau kita berubah, daripada orang Melayu biasa kepada orang Melayu yang soleh. Adakah rumah kita sedia menerima perubahan kita? Adakah “family” kita sedia menerima perubahan kita? Fikirkan…

 

            Perhatikan persekitaran kampung ( atau taman perumahan) kita pula. Di gelanggang takrawnya kaum lelaki memakai seluar pendek. Waktu Maghrib mereka masih di padang bola. Kalaulah Nabi Muhammad datang, bagaimana? Sedang baginda jalan-jalan di kampung (atau taman) kita, tiba-tiba menerbang lalu motosikal dari arah belakang, dengan lajunya, dengan bising ekzosnya… siap anak dara pula yang bawa, dengan tidak bertudungnya, siap angkat tayar depan lagi. Apabial Nabi Muhammad ke surau atau amsjid, dilihatnya kosong- adalah dua tiga orang yang solat berjemaah.

 

            Anak-anak datang pual ke sekolah. Ingatkan dis ekolah hendak mendapatkan ilmu dan mengikuti contoh yang soleh. Tapi lihatlah guru-guru yang ada. Sebahagiannya tidak menunjukkan contoh yang soleh sebaliknya mempromosikanperkara-perkara yang tidak baik. Ada guru yang merokok, bergurau melampaui batasan… yang perempuannya pula tidak menutup aurat, tak pakai tudung, bersolek macam-macam warna, baju pelbagai fesyen yang tidak selaras dengan kehendak Islam…

 
            Ketiga-tiga persekitaran ini sebenarnya begitu kuat mencabar remaja, begitu kuat mempengaruhi kita. Kita kena sangat berhati-hati.

 

bersambung ke bahagian ke-4...

 

 

BERTUHANKAN ALLAH, BERSYARIATKAN SYARIAT MUHAMMAD SAW
Tulisan-tulisan di laman ini adalah hak milik Allah SWT dengan berperantaraan Alexanderwathern. Maklumat berkenaan HALAL DIPINDAHKAN ke mana-mana dengan SYARAT hendaklah disertakan sama alamat laman ini sebagai rujukan dan tidak digunakan untuk tujuan komersil.