Make your own free website on Tripod.com

Langkahan Ikmalia- alexanderwathern

Cerama : SERBAN ABANG (bahagian terakhir)
Laman Utama
Himpunan Risalah Tarbiyyah
Himpunan Risalah Agama Islam
Himpunan Risalah Agama Dunia
Himpunan Soaljawab Ringkas
Himpunan Karya Seni
Himpunan Bahan Bacaan
Himpunan Risalah Umum
Himpunan Dialog
Abu Zulfiqar "Alexanderwathern"
Himpunan Buku

Mereka tiba di halaman rumah. Oleh kerana senja masih jauh, mereka menuju ke pokok ceri di penjuru kanan halaman. Ada pangkin tempat untuk mereka melabuhkan punggung.

            Setelah duduk, Hafiz mendongak ke atas. Dilihatnya seekor burung kecil berwarna kuning sedang melompat-lompat dari dahan ke dahan. Ketika itu juga dia terpandang sesuatu meluncur ke bawah- ke arah Iskandar. Kena saja tubuh Iskandar, terus tubuh Iskandar terlatah. Sempat sikunya menyinggah ke bahu Hafiz. Terjatuh Hafiz ke tanah.

            Rupa-rupanya tahi burung, kena betul-betul atas bahu Iskandar. Apabila pendekar Terlak disentuh, bukan main sensitif lagi- terus pukulannya mencari sasaran. Nasib engkaulah Hafiz.

 

HAFIZ

Allahhh… sengal giler woi! (Mengaduh tapi masih mampu tersenyum)

 

ISKANDAR

Ha ha ha! Sorry sorry! Allahhh… tak kan Hafiz tak tau abang ni, bukan boleh tercuit sikit! (Diusapnya bahu Hafiz)

 

HAFIZ

Orang pun belajar silat jugak, tapi tak le teruk macam abang ni. Lipas main kat kaki “time” tengah tidur pun habis dinding papan tercabut kena tendang.

 

ISKANDAR

Ha ha ha. Biasalah tu.

 

PAK SAID

(Melaung dari tepi rumah)

Kenapa tu?

 

HAFIZ

Tak ada apa ayah, “accident” sikit!

 

            Mereka membetulkan duduk di pangkin. Iskandar mengelap sisa-sisa tahi burung di bahunya.

 

ISKANDAR

Huh, tak puas hati ni! Masuk rumah nanti mandi lain! (Dilapnya sambil lewa saja)

 

HAFIZ

Abang, pasal serban tadi… setahu saya, semua hadis-hadis tentang serban adalah palsu ataupun dhaif…tak boleh nak dibuat hujah.

 

ISKANDAR

Hadis-hadis yang jelas palsu, memang kita tolak. Tapi… nak ada kajian jugak. Adakah majoriti ulama hadis menghukumnya palsu, ataupun… hanya seorang dua saja yang kata palsu sedangkan tujuh lapan orang lagi kata tak palsu?

Sekarang ni… banyak orang yang baca satu dua buku tentang hadis, contohnya hadis-hadis yang dinilai oleh al Albani. Lepas tu, kalau Albani mendapati sesuatu hadis itu palsu, maka si pembaca tadi pun seumur hidupnya menghukum hadith itu palsu. Padahal dia tidak mencaripun kalau-kalau ada ulama lain yang mengatakan hadis itu bukan palsu.

Kalau orang tanya kepada pembaca tadi, “Apa nilai hadis ini?”. Maka terus dijawabnya “palsu”, seolah-olah para ulama hadis bersepakat mengatakan hadis itu palsu. Padahal yang menghukumnya palsu adalah al Albani. Maka kalau kita nak jaga kesarjanaan dalam hal ehwal agama ini, sepatutnya… si pembaca tadi kalau berpeluang mestilah mengatakan , “Hadis ini palsu menurut al Albani dan siapa-siapa lagi. Menurut ulama lain-wallahualam.” Dengan cara ini, ilmu agama akan lebih terjaga.

 

Merenung mata Hafiz, lalu menyambung kata-katanya lagi

 

ISKANDAR

Pasal hadis dhaif pula… ia boleh dijadikan hujah dalam perkara-perkara yang bukan persoalan pokok dalam agama, asalkan tidak terlalu dhaif. Dan serban bukan persoalan pokok dalam agama Islam.

 

HAFIZ

Tapi, ada ulama hadis yang menolak penggunaan hadis-hadis dhaif sebagai hujah, walau dalam bab apa pun!

 

ISKANDAR

Dalam kes ini, kita berbalik kepada persoalan “khilaf” yang kita bincang mula-mula tadi. Kalau dah khilaf, maka pihak-pihak yang bertentangan pendapat kena saling meraikan pendapat lawannya. Kalau dia mengatakan hanya pendapat dia yang betul, maka orang ini tidaklah layak menjadi ulama kerana dia tidak faham adab-adab berkhilaf. Ini kerana…barisan ulama yang mengharuskan penggunaan hadis dhaif bukan kecil-kecil anak, dan bukan sedikit bilangan mereka.

 

(Menarik nafas sebentar)

 

Berbalik kepada persoalan hadith-hadith tentang serban yang dhaif tadi. Kita tidak boleh menghukumnya dhaif terus-menerus kalau hanya berdasarkan kajian ulama tertentu. Boleh jadi ada ulama lain yang juga buat kajian dan mengangkat hadis-hadis tertentu ke tahap hasan ataupun sahih.

 

HAFIZ

Ya, saya faham. Samalah dengan penerangan abang sebelum ni.

 

ISKANDAR

Baik. Katakanlah semua hadis tentang serban ni dhaif belaka, tak ada yang hasan mahupun yang sahih. Tapi kita kena ingat, hadis-hadis dhaif tentang kelebihan serban ni banyak, bukan satu dua. Kalau kita kumpul semua hadis-hadis ni, kita akan dapati yang hadis-hadis ini mutawatir dari segi maknanya- iaitu memakai serban itu ada kebaikannya. Semua hadis ini seolah-olah bersepakat menganjurkan pemakaian serban!

Apabila ia mutawatir maknawi, maka kesepakatan maknanya itu boleh diangkat ke tahap hasan. Hadis hasan kan boleh dibuat hujah?...

Itupun kalau kesemeua hadis serban dhaif. Bagaimana kalau ada yang hasan?

 

HAFIZ

(Masih mendengar dan berfikir)

OK lah. Katakanlah betul memakai serban ini satu sunnah…

 

ISKANDAR

Maaf abang memotong! Bagi abang, yang pasti sunnah ialah membiasakan berserban, bukannya sentiasa berserban. Sebab Nabi Muhammad pun bukan sentiasa berserban. Okey… sambung.

 

HAFIZ

Jadi yang sentiasa nampak berserban tu bukan sunnah la ye?

 

ISKANDAR

Bukan begitu. Di sini abang membezakan antara yang pasti dengan yang kurang pasti. Membiasakan memakai serban itu pasti sunnah, manakala yang sentiasa berserban itu… abang tidak berani untuk mengatakan ia pasti sunnah. Harap Hafiz jelas perbezaannya. OK sambung.

 

HAFIZ

Ya. Kalaulah betul serban ni sunnah, kenapa agaknya ulama-ulama besar hari ini tidak berserban?

 

ISKANDAR

Bergantung kepada siapa yang kita iktiraf sebagai ulama. Bukankah banyak ulama sufi hari ini yang memakai serban? Bagaimana boleh kita kata ulama-ulama besar hari ini tidak berserban?

 

HAFIZ

Maksud saya… sebahagian ulama yang biasa kita lihat di media seperti Ramadhan al-Buti, Yusuf Qardhawi, al Albani… Hasan al Banna…

 

ISKANDAR

Adakah hanya kerana mereka tidak berserban, maka itu sudah cukup menjadi hujah mengatakan serban bukan sunnah?

 

HAFIZ

Oh, tentulah tidak. Bukan macam tu maksud saya.

 

ISKANDAR

Baiklah. Katakanlah pada hari akhirat nanti… Allah umumkan bahawa membiasakan memakai serban bukan sunnah.

Bagi orang yang tidak berserban- dia tidak akan rugi apa-apa.

Bagi orang yang berserban, dia akan rugi seumur hayatnya di dunia, iaitu lebih kurang 70 ke 80 tahun. Kerugiannya hanyalah masa selama 70 atau 80 tahun.

Betul?

 

HAFIZ

Tapi orang yang mengatakan serban sunnah, mereka akan didakwa juga kerana berdusta atas nama Rasulullah- yang bukan sunnah dikata sunnah.

 

ISKANDAR

Pendakwaan itu mustahil berlaku.

 

HAFIZ

Kenapa pulak?

 

ISKANDAR

Kerana kesunnahan serban merupakan perkara khilaf! Bagi para ulama yang berijtihad mengatakan serban sunnah, sekalaipun ijtihad mereka salah, mereka tetap mendapat satu kali ganjaran pahala. Ada tak hadis Nabi yang mengatakan begitu?

 

HAFIZ

Err… ya.

 

ISKANDAR

Jadi, bagaimana pulak mereka boleh didakwa?

 

HAFIZ

(Berdiam diri)

 

ISKANDAR

Seterusnya… katakanlah pada hari akhirat nanti, Allah umumkan bahawa membiasakan memakai serban ternyata satu sunnah!

Bagi orang-orang yang berserban, mereka akan untung selama-lamanya di akhirat. Ini kerana kalau kita pertahankan satu sunnah saja pun, pada masa orang lain tidak mahu mempertahankannya… kita akan mendapat ganjaran 100 pahala syahid.

Bagi orang yang tidak berserban, yang tidak menganggap ia satu sunnah… maka mereka akan kerugian selama-lamanya di akhirat, walaupun perkara ini tidaklah sampai membawa dosa.

Betul?

 

HAFIZ

Hmmm… (Berfikir)

 

ISKANDAR

Sekarang.. bandingkan kerugian yang bakal dialami oleh kedua-dua belah pihak.

Pihak yang berserban, iaitu yang menganggapnya sunnah, kalau tersalah… akan rugi masa mereka 80 tahun di dunia. Di akhirat tetap tidak rugi apa-apa.

Pihak yang tidak berserban, maksudnya yang tidak menganggap ia satu sunah, jika tersalah… akan kerugian selama-lamanya di akhirat.

Antara dua jenis kerugian ini, kerugian manakah yang lebih besar?

 

Mereka sama-sama tertawa.

 

HAFIZ

Aduhhh.. pening pulak memikirkannya. Nak kena panggil pakar ekonomi nih!

 

            Mereka tertawa lagi.

 

ISKANDAR

Tambah lagi! Bagi seorang pelabor yang bijak, pelaboran manakah yang akan disertainya? Yang kalau tersalah… akan kerugian RM 80 jutakah, ataupun yang kalau tersalah… akan kerugian trillion-trillion RM?

 

            Lagi-lagi tertawa.

 

HAFIZ

He he he! Ahh.. sudahlah! Jom masuk, dah dekat Maghrib! (Bangun sambil menepuk bahu abangnya).

 

HAFIZ

Allahhh….! (Tangannya terkena sisa tahi burung di bahu abangnya)

 

            Mereka tertawa lagi.

 

PAK SAID

Oii… dah senja ni!

 

ISKANDAR

Ha ah, jap! Dah habis dah ni!

 

HAFIZ

(Sambil berjalan beriringan dengan abangnya)

Bang. Abang pernah baca tak artikel bertajuk “Katakan Tidak Kepada Wahabi”?

 

Iskandar berhenti, Hafiz pun turut berhenti.

 

ISKANDAR

Rasanya pernah. Dr. Asri yang tulis kan?

 

HAFIZ

Ya. Mufti Perlis yang baru tu.

 

ISKANDAR

Pernah, tapi baca sekali lalu saja la. Tak le pulak teliti betul-betul. Kenapa?

 

HAFIZ

Isi kandungan artikel tu bagus. Abang cuba le baca. Boleh kita bincang nanti.

 

ISKANDAR

Ooo… peminat Dr. Asri le ni ye? (Sambil berjalan semula, dituruti adiknya)

 

HAFIZ

Kalau apa yang dikatakannya tu betul, tentu tak salah jadi peminat. Ye tak?

 

ISKANDAR

Boleh, boleh! Hafiz ada artikel tu?

 

HAFIZ

Semua artikel Dr. Asri saya ada, dalam lap top.

 

ISKANDAR

Elok lah. Nanti tolong “copy” kat abang. Semua sekali.

 

HAFIZ

Bila nak muzakarah?

 

ISKANDAR

Amboih, sabar le kalau ye pun!

 

HAFIZ

He he he.

 

ISKANDAR

Abang tak biasa dengan pemikiran Dr. Asri ni. Nanti abang cuba “study”, pas tu kita sembang la.

Bila lagi cuti?

 

HAFIZ

Emmm… bulan tiga ni cuti pertegahan penggal. Insyaallah saya akan balik sini tiga empat hari.

 

ISKANDAR

Hah, elok le tu. Ada la masa lebih, dekat sebulan jugak. Kalau abang dah ada sikit pemahaman, baru “best” bincang.

 

HAFIZ

OK. Cuti nanti saya balik.

 

            Iskandar masuk melalui pintu depan mendahuli adiknya.

 

Insyaallah bersambung ke cerama bertajuk “Wahabi Mengatakan Tidak”.

 

 Alexanderwathern

Siap sepenuhnya 4 MAC 2007

 

 

 

BERTUHANKAN ALLAH, BERSYARIATKAN SYARIAT MUHAMMAD SAW
Tulisan-tulisan di laman ini adalah hak milik Allah SWT dengan berperantaraan Alexanderwathern. Maklumat berkenaan HALAL DIPINDAHKAN ke mana-mana dengan SYARAT hendaklah disertakan sama alamat laman ini sebagai rujukan dan tidak digunakan untuk tujuan komersil.